Kekurangan keselamatan di sempadan kita, hampir tidak wujud pengawasan di dalam hutan kita, ketidakcekapan pihak berkuasa kita, antara sebab-sebabnya.
Portal berita Malaysiakini menemubual pengarah bersama kumpulan hak asasi pendatang asing, Aegile Fernandez , yang mendakwa pihak berkuasa sudah lama mengetahui kewujudan kem perhambaan dan perkuburan besar ini.
Menurutnya, NGOnya telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tentang kewujudan perkuburan dan kem pemerdagangan manusia di sempadan Thai-Malaysia tetapi tiada tindakan di ambil.
“Apabila yang hidup berteriak (meminta pertolongan), pihak berkuasa tidak mahu dengar. Tetapi kini kita menjumpai kubur besar,kali ini mayat-mayat yang berteriak meminta keadilan,” dia dipetik sebagai berkata.
Dia juga bercerita tentang bagaimana pendatang yang berjaya melepaskan diri daripada sindiket pemerdagangan manusia ini selepas membayar upah lumayan, sudah lama memberitahu NGO itu tentang kewujudan kem dan kubur tersebut.
“Malah ada seorang pelarian yang melihat kawannya dihumbankan ke dalam kubur besar ketika masih hidup.”
Jika apa yang didakwa oleh Fernandez benar, sangat mengecewakan yang pihak berkuasa kita gagal bertindak berdasarkan aduannya.
Kita tertanya-tanya berapa ramai yang boleh diselamatkan sekiranya mereka bertindak.
Ia juga menjadi bukti yang pihak berkuasa Malaysia hanya bagus dalam satu perkara- perlu dikejutkan oleh perkara yang sudah berlaku, berbanding mengambil tindakan pencegahan untuk mengelakkan sesuatu perkara daripada terjadi.
Ini terbukti dalam tingkahlaku “terkejut sampai terkelu” yang ditunjukkan oleh Kementerian dalam Negeri dan polis berikutan penemuan tersebut.
Tidakkah mereka terfikir yang kita mempunyai keselamatan sempadan yang sangat lemah sehingga membolehkan ratusan, atau ribuan pendatang menyelinap masuk setiap bulan?
Bagaimana mereka fikir pendatang asing boleh berterusan masuk ke dalam negara kita pada tahap yang membimbangkan?
Jika itu tidak mencukupi, media kita berulang kali memaparkan isu kelemahan keselamatan sempadan, serta bagaimana anggota yang ditugaskan mengawal sempadan mudah ‘dibeli’ dengan rasuah supaya menutup mata.
Tetapi, tiada tindakan diambil untuk menangani isu ini, sehinggalah tanah air kita menjadi tempat bersemadinya ratusan jiwa yang menderita.
Bagaimana dengan keselamatan hutan kita? Kubur dan penempatan yang baru ditinggalkan, dipercayai digunakan oleh sindiket sebelum serbuan dijumpai dalam hutan tebal di kawasan Wang Kelian, Perlis.
Apakah kebarangkalian sindiket berhenti di satu tempat- membina penempatan, menggali kubur dan menanam mayat, semalaman? Tidak mungkin kan?
Nyata sekali, mereka telah berada di situ dalam satu jangka masa lama, tidak dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasukan ranjer hutan. Kementerian dalam Negeri percaya yang kem itu sudah wujud sekurang-kurangnya sejak lima tahun lalu, sebelum ditinggalkan sindiket.
Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim menyuarakan kebimbangan yang sama.
Laporan berita memetik dia berkata yang dia tertanya-tanya bagaimana pihak berkuasa boleh terlepas pandang aktiviti itu, sedangkan wujud “keselamatan yang ketat” (yang sangat boleh dipersoalkan).
“Jika ranjer hutan telah masuk ke dalam kawasan hutan dan pergunungan itu sekurang-kurangnya sekali sebulan, aktiviti itu pasti dapat dikesan,” katanya.
Jadi kita mempunyai Jabatan Perhutanan yang kakitangan tidak buat kerja sekurang-kurangnya sekali sebulan, makan gaji buta yang dibayar dengan duit pembayar cukai. Syabas!
Kenyatannya, negara kita telah dikecam hebat kerana rekod pemerdagangan manusia yang buruk. Penemuan terkini ini hanya bermaksud satu perkara- reputasi kita bertambah buruk dan tiada cara kita boleh bertambah baik atau meningkatkan kedudukan dalam senarai akan datang.
Jika kerajaan benar-benar serius menangani masalah ini, rancangan tindakan segera perlu dilakukan.
Buang sahaja pegawai yang korup dalam agensi penguatkuasa dan jabatan kerajaan yang ditugaskan menangani kemasukan pendatang, dan berusaha keras menumpaskan sindiket yang terlibat dalam pemerdagangan manusia. Dakwa penjenayah itu, sebat mereka, denda mereka, dan penjarakan mereka untuk jangka masa panjang- apa sahaja yang boleh dilakukan untuk menghancurkan terus aktiviti hina mereka.
Perkuatkan keselamatan sempadan kita, yang akan menghantar mesej jelas kepada pendatang yang mereka tidak dialu-alukan di sini. Hapuskan kelemahan, apa sahaja yang wujud.
Bagaimanapun, untuk melakukan semua ini, desakan politik yang kuat diperlukan. Adakah kita mempunyai desakan politik yang diperlukan, adalah satu persoalan besar yang belum boleh dijawab.
Oleh: V Shuman
0 comments:
Post a Comment